KUALA LUMPUR: Kejayaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menjadi bukti Kerajaan Perpaduan diterima rakyat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, rakyat di kawasan itu lebih matang dalam memberi mandat kepada gabungan politik yang boleh membawa kepada kestabilan politik negara.

"Ia satu (bukti) keabsahan... para pengundi matang di Pulai dan Simpang Jeram, ini membuktikan Kerajaan Perpaduan diterima.

"Apa yang telah disebutkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan untuk menterjemahkan kestabilan di peringkat nasional dengan terus mengekalkan 148 kerusi Parlimen ini... ia telah diterjemahkan pengundi di Pulai," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad.

Tambah Ahmad Zahid lagi, kemenangan di dua PRK itu juga memberi isyarat kepada seteru politik agar menghentikan serangan terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Tentunya ini akan beri satu isyarat pada pihak seteru politik kita, cukuplah daripada memainkan terus isu-isu menimbulkan fitnah dengan pelbagai muslihat...

"...jadilah sahabat kalau mereka mahu melihat kestabilan politik di negara kita.

"Kesengsaraan rakyat sebelum ini harus diubat segera dengan mengisi lompong kekurangan bagi menyantuni permasalahan rakyat, kita mara ke hadapan untuk terjemahkan pelaksanaannya," katanya lagi.